KESIHATAN DAN PERPADUAN

APAKAH MAKSUD KESIHATAN DAN PERPADUAN ?

Kesihatan bermaksud  keadaan sempurna dari segi fizikal,mental dan sosial dan tidak hanya seketika ketiadaan sakit. Dalam erti kata lain, kesihatan dapat didefinisikan sebagai kemampuan untuk meneruskan hidup dengan prospek positif.


Perpaduan bermaksud penyatuan yang dipamerkan oleh sesebuah masyarakat atau kumpulan yang merujuk kepada perhubungan sosial yang mengaitkan antara sesama manusia (berlainan kaum,bangsa dan agama).


Kesihatan dan perpaduan pula dapat dikaitkan dengan kerjasama antara organisasi dalam bidang kesihatan dalam memastikan masyarakat dengan tidak membezakan agama,bangsa dan kaum bagi memastikan kita semua dapat mengecapi kehidupan bermasyarakat yang aman dan harmoni. Struktur bidang perubatan ini juga lazimnya terdiri daripada pakar-pakar dan staf yang berlainan bangsa dan agama, bersama-sama berkongsi kepakaran dan kemahiran bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin. Hal ini juga dapat menjelaskan bahawa di sinilah titik permulaan perpaduan dan kesihatan ini berlaku.

 HARI SUKAN NEGARA / BULAN SUKAN NEGARA

Contoh pertama yang boleh kita ambil bagi menjelaskan dengan lebih mudah mengenai konsep kesihatan dan perpaduan ini ialah melalui program yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan ini.

 “Hari Sukan Negara” yang disambut selama sehari pada minggu kedua Oktober sejak 2015 telah ditukar namanya kepada “Bulan Sukan Negara” yang diwujudkan mulai Oktober 2019. Penambahbaikan dan perubahan konsep lebih kontemporari dan memenuhi keperluan semasa adalah keutamaan sangat penting terhadap program Bulan Sukan Negara bagi menjamin agenda “Sukan Untuk Semua” kekal relevan sepanjang zaman.

 Tujuan sukan negara

Untuk menggalakkan semangat persaingan yang sihat dan muhibah melalui sukan di kalangan individu, kumpulan masyarakat dan antarabangsa

 


Seperti yang kita lihat, agenda “Sukan Untuk Semua” itu dapat dikaitkan serba sedikit mengenai perpaduan antara masyarakat ketika bersukan. Contoh yang paling mudah diambil semasa Bulan Sukan Negara ini dijalankan, kaum Melayu, Cina dan India sama-sama menyertai acara yang dianjurkan tidak kira di sekolah mahupun komuniti setempat mereka. Oleh itu, wujudnya kerjasama antara satu sama lain apabila bersukan sekaligus dapat mencapai kemenangan ketika menyertai sesuatu acara atau pertandingan.


 KEMPEN DERMA DARAH

Selain itu, perpaduan juga dapat diwujudkan ketika kita mendermakan darah. Hal ini demikian kerana  kita dapat melihat di sekeliling kita mengenai proses kerjasama antara kaum sekaligus dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama kaum. Mari kita lihat bagaimanakah kempen derma darah ini mampu mewujudkan perpaduan di Malaysia

 


Visi Pusat Darah Negara ialah sedia berkhidmat kepada masyarakat dalam menyediakan darah yang mencukupi dan selamat serta menjadi pusat rujukan yang cemerlang di bidang Transfusi Perubatan.

 

 


Seperti yang kita sedia maklum, stok di bank darah semakin hari semakin berkurangan. Tambahan pula berlakunya fenomena pandemik Covid-19 ini menyebabkan pengurangan pendermaan darah oleh masyarakat. Sehubungan itu, Datuk  Seri Dr. Noor Hisham Abdullah ketika sidang media di Putrajaya berkata :

 “Stok bekalan darah di Pusat Darah Negara dan Tabung Darah di seluruh negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengalami penurunan sebanyak 40 peratus berbanding dengan tahun sebelum ini.”

 (https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/691101/stok-bekalan-darah-makin-kurang)



Bertetapan dengan syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pusat Derma Darah Negara, kita semua boleh mendermakan darah walaupun berbeza kaum dan bangsa. Sehubungan dengan pengurangan stok di bank darah Malaysia, kita sebagai rakyat Malaysia haruslah bersama-sama membantu rakan-rakan kita yang memerlukan darah bagi meneruskan kehidupan seperti kita. Dalam pada itu, kempen derma darah ini juga dapat menjalinkan perpaduan tanpa kita sedar. Perpaduan di sini bukan hanya terbentuk dari insan yang mendermakan darah malahan insan yang membantu sepanjang kempen juga bersatu padu bagi mencapai hasrat dan tujuan kempen derma darah itu dijalankan.

  

COVID-19

Contoh terakhir yang dapat saya berikan di sini ialah mengenai penularan kes pandemik Covid-19 di seluruh negara. Penularan kes ini menyebakan satu dunia panik dan sistem organisasi kesihatan semakin sesak. Mari kita kupas serba sedikit kaitan antara penularan kes ini dengan perpaduan di Malaysia.


Sebagaimana yang kita lihat, kes ini menjadikan kesemua petugas-petugas barisan hadapan (frontliner) berkerjasama dan berganding bahu siang dan malam bagi mengurangkan penularan ini berlaku. Selain itu, barisan-barisan petugas hadapan (frontliner) yang terdiri daripada polis, tentera, doktor dan sebagainya bertugas dan berkongsi kepakaran untuk memastikan fasiliti keperluan dan keselamatan rakyat terjamin. Rakyat juga perlu bersama-sama menjaga diri daripada dijangkiti penyakit ini selaras dengan tagline “#kitajagakita”. Jelaslah bahawa dengan adanya perpaduan yang kuat  daripada rakyat Malaysia ini mampu dan berjaya menjadikan Malaysia antara negara yang paling kurang catatan kes Covid-19 di seluruh dunia.


KESAN TERHADAP KESIHATAN JIKA TIADA PERPADUAN ANTARA RAKYAT.


·       KEHARMONIAN NEGARA AKAN TERJEJAS

    Keharmonian negara terjejas bermaksud tiadanya kesepaduan di kalangan rakyat. Kerjasama yang baik antara rakyat sangat dititikberatkan di dalam proses memberikan rawatan yang terbaik kepada rakyat. Contohnya, sepanjang berlakunya penularan wabak COVID-19 ini , rakyat tidak mempunyai matlamat yang sama dengan pihak atasan untuk berkerjasama memutuskan rangkaian wabak tersebut. Ini sekaligus menyebabkan peningkatan kes dan kematian pesakit dari semasa ke semasa dan menyebabkan kebimbangan bukan sahaja pada pihak atasan malah terhadap kita juga. Sehubungan itu, keharmonian negara juga  tergugat dan memberikan impak negatif yang agak besar kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

·         WUJUDNYA MASYARAKAT YANG TIDAK BERMORAL , BERTOLAK ANSUR DAN BERETIKA

    Apabila adanya masyarakat yang tidak bermoral , bertolak ansur dan beretika ini dapat menyebabkan berlakunya pergaduhan dan perselisihan faham antara kaum. Sebagai contoh, rakyat yang  tidak memberi komitmen yang baik kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mendermakan darah kepada pesakit yang memerlukan. Ini kerana kurangnya sensitiviti dalam diri sesetangah rakyat terhadap pesakit yang betul-betul memerlukan. Lebih-lebih lagi, stok darah di dalam tabung darah negara kini tidak mencukupi bagi menampung bekalan darah yang diperlukan oleh setiap pesakit yang berada di hospital mengikut jenis-jenis darah yang diingini. Malahan pula, terdapatnya sesetengah sifat rakyat yang memilih kasih dalam mendermakan darah akan melambatkan lagi proses membaik pulih kesihatan pesakit tersebut. Dengan itu, tahap kesihatan akan terganggu dan kurangnya kesepaduan dalam kalangan rakyat.

·         WUJUD SIKAP MEMENTINGKAN DIRI DALAM MASYARAKAT

           Sering kali kita dapati terdapatnya segolongan masyarakat yang sanggup menggadai prinsip politik, ekonomi, keadilan dan prokemanusiaan demi kepentingan diri. Contohnya,sesetengah rakyat yang tidak memberi kerjasama yang baik untuk mematuhi perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  semasa berlakunya wabak virus jangkitan COVID-19. Sebagai contoh, rakyat lebih suka mengikut kehendak mereka untuk keluar sesuka hati dan tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan tanpa mengambil berat  tahap kesihatan orang lain. Hal ini diperkatakan demikian kerana kita akan mempropagandakan lagi keadaan sekaligus meningkatkan bilangan kes COVID-19 tersebut melalui sentuhan dan jarak yang rapat apabila bertemu kawan atau sebagainya.

·         KESTABILAN EKONOMI NEGARA TERJEJAS

    Sistem kesihatan dalam negara turut berfungsi bagi menstabilkan ekonomi negara. Namun begitu, apabila wujudnya masalah kesihatan seperti penularan wabak COVID-19, maka ini turut menjejaskan lagi kestabilan ekonomi negara. Seiring dengan pengumuman yang diumumkan oleh  Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mengistiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri bermula pada 18 Mac 2020, sudah pasti ini akan memberikan kesan yang mendalam kepada sistem ekonomi negara. Contoh dapat yang kita lihat, berlaku peningkatan bilangan pengganguran, pegurusan peniagaan yang tidak mendatangkan banyak keuntungan dan anak- anak muda yang berhasrat untuk  menyambung pelajaran juga terbantut . Oleh itu, kestabilan ekonomi negara adalah sangat penting serta memainkan peranan yang besar dari aspek kesihatan bagi membentuk perpaduan negara yang aman dan harmoni.

·         ASPEK SOSIAL

    Memang tidak dapat disangkal bahawa komunikasi dua hala yang baik antara masyarakat berbilang kaum merupakan antara cabaran besar yang perlu dihadapi. Hal ini demikian kerana tanpa komunikasi yang baik di antara rakyat  dan kesepakatan komunikasi  dapat menjejaskan kejayaan sesuatu program kesihatan seperti Bulan Sukan Negara dilaksanakan. Contohnya, di dalam sesebuah komuniti yang terdapat masyarakat yang berbilang kaum mempunyai komunikasi yang kurang baik sesama kaum akan mewujudkan jurang antara satu sama lain dan sekaligus menyukarkan kita untuk bersepadu ketika melakukan perancangan aktiviti sepanjang Bulan Sukan Negara. Selain itu, kesihatan sangat memerlukan komunikasi dua hala antara satu sama lain terutamanya ketika  merawat , melawat dan melakukan pembedahan kepada pesakit.




·    



KESIMPULAN

Tuntasnya, sektor kesihatan mampu membentuk dan mewujudkan hubungan perpaduan yang utuh dan teguh antara masyarakat. Konteks perpaduan itu sendiri telah membawa makna yang sangat besar terhadap komuniti dan negara kita yang tercinta. Kita sebagai rakyat Malaysia perlu menjaga perpaduan yang terbina ini bagi memastikan kesinambungannya pada generasi akan datang. Jika tiadanya perpaduan antara masyarakat, maka keharmonian negara akan tergugat dan sekaligus menyebabkan penyatuan antara kaum dan bangsa itu semakin hilang.

 

 Sekian sahaja dari kami tentang perkaitan antara kesihatan dan perpaduan ini. Semoga blog ini dapat memberikan anda semua ilmu dan info baharu. Semoga kita bersua kembali di masa akan datang !


          Nama Ahli Kumpulan (MPU21032) :

         -Nurafiqah Binti Johari (14DAT20F1005)

        -Akmal Hanisah Binti Mohd Esa (14DAT20F1008)

        -Nur Haziqah Binti Zuljaini (14DAT20F1010)

        -Nur Hannani Binti Affandi (14DAT20F1022)


        Nama Pensyarah: Encik Mohd Faizal Bin Mat Pesa

     

 

 

 




 

 

 

 




 

kesihatan dan perpaduan

KESIHATAN DAN PERPADUAN

APAKAH MAKSUD KESIHATAN DAN PERPADUAN ? Kesihatan bermaksud  keadaan sempurna dari segi fizikal,mental dan sosial dan tidak hanya seketika k...

kesihatan dan perpaduan